Majlis Anugerah Cemerlang & Graduasi

AHAD, 21 April 2013 – Bekas calon-calon SPM 2012 SBPI Gombak pada hari ini telah diraikan dalam Majlis Anugerah Cemerlang dan Graduasi seperti tahun-tahun sebelum ini. Melalui majlis ini bekas-bekas murid tersebut telah menerima pelbagai anugerah bagi mengiktiraf kecemerlangan mereka dalam peperiksaan SPM yang telah mereka lalui dengan jayanya.  Majlis yang dirasmikan oleh Tn Haji Rosland Hussein (Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemelangan) itu juga menghargai jasa guru-guru yang telah mencurahkan sumbangan besar kepada kejayaan murid-murid melalui pengiktirafan dan anugerah yang diberi.  Bekas Ketua Umum iaitu Saudara Muhammad Ilman Ismail telah dipilih sebagai tokoh murid 2012. Murid-murid tingkatan 1, 2, 3 dan 4 juga telah menerima anugerah kecemerlangan sebagai motivasi kepada mereka untuk terus berusaha menjadi yang terbaik.  Majlis kali ini juga diserikan dengan beberapa persembahan murid seperti persembahan nasyid, gamelan, band dan juga bicara berirama.

Tn Haji Rosland Hussein (tengah) bersama guru-guru pentadbir dan wakil PIBG.

Antara graduan yang hadir.

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Kejohanan Merentas Desa

SABTU, 13 April 2013 – Keadaan cuaca yang baik pada hari ini telah banyak membantu acara Kejohanan Merentas Desa SBPI Gombak pada tahun ini. Bermula seawal 7.30 pagi murid-murid telah berhimpun di Kalang Cekal mengikut rumah masing-masing dan mendengar taklimat daripada En Suharman.  Selepas itu mereka melakukan aktiviti regangan dan memanaskan badan.  Setelah semua murid berada di garis permulaan di hadapan Sekolah Setia Budi Gombak, Pn Pengetua telah melepaskan semua peserta satu persatu mengikut kategori masing-masing.  Anggota Rela turut sama memberi bantuan agar acara dapat dijalankan dengan selamat. Keputusan merentas desa pada tahun ini memihak kepada pasukan Hijau Zamrud sebagai juara, diikuti oleh Kuning Topaz (Naib Juara), Merah Delima (Ketiga) dan Biru Nilam (Keempat).  Kesemua pemenang telah menerima medal masing-masing dalam majlis penutup yang dirasmikan oleh Pn Pengetua sendiri.

Para peserta berlari di kawasan UIAM.

Pn Pengetua menyampaikan medal kepada salah seorang pemenang.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Majlis Perpisahan En Shafrin, Pn Norlina dan En Zaireemal

JUMAAT, 12 April 2013 – Kelab Guru & Staf SBPI Gombak hari ini telah mengadakan majlis ringkas bersempena perpisahan En Shafrin (GPK), Pn Norlina (Pembantu Tadbir) dan En Zaireemal (Penyelia Asrama).  En Shafrin yang berkhidmat di SBPI Gombak selama hampir 2 tahun, melanjutkan pelajarannya ke peringkat master. Pn Norlina dan En Zaireemal pula berpindah kerja ke tempat baharu.  Dalam majlis ini En Shafrin melahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada semua warga sekolah terhadap kerjasama sepanjang tempoh perkhidmatan beliau di sini dan berharap jalinan persaudaraan akan terus terjalin. Pn Norlina dan En Zaireemal pula menyatakan peluang berkhidmat di sekolah ini adalah salah satu pengalaman yang banyak mendewasakan mereka.  Semoga mereka semua akan terus maju jaya di tempat baharu.

Dari kiri, En Shafrin, Pn Norlina dan En Zaireemal.

 

En Shafrin menerima cenderamata daripada wakil pelajar.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Anugerah Kecemerlangan SPM 2012

SELASA, 9 April 2013 – Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia 2012 peringkat kebangsaan telah dilangsungkan di sekolah ini dan disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd. Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Hampir 40 buah sekolah yang diwakili pengetua sekolah masing-masing telah hadir ke sekolah ini bagi menerima penganugerahan tersebut. Tiga kategori anugerah telah diberikan iaitu Kategori 1 bagi sekolah cemerlang yang berjaya mencapai gred purata sekolah (GPS) kurang daripada 1.50 mata, Kategori 2 bagi sekolah cemerlang yang berjaya sekurang-kurangnya 3% daripada calon mencapai Gred A+ dalam semua mata pelajaran, dan Kategori 3 bagi sekolah yang menunjukkan peningkatan GPS melebihi 10%.  SBPI Gombak telah menerima anugerah dalam Kategori 1.  Dalam ucapan YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin antara lain menyatakan bahawa SPM merupakan sebuah peperiksaan yang bukan hanya diiktiraf di peringkat kebangsaan tetapi juga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa kerana terdapat kerjasama daripada organisasi dari negara-negara lain dalam proses piawaian penilaiannya.  Semoga SBPI terus cemerlang dan mendapat penganugerahan yang lebih baik pada masa akan datang.

Pn Wan Saberina menerima anugerah kecemerlangan SPM daripada YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd. Yassin.

 

Penerima-penerima anugerah bergambar bersama TPM di Kalang Cekal.

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Pelancaran Program NILAM & Rakan Pembaca 2013

SELASA, 3 APRIL 2013 – Program NILAM dan Rakan Pembaca bagi tahun 2013 telah dilancarkan seperti tahun-tahun sebelum ini.  Program yang telah diperkenalkan di peringkat nasional semenjak 15 tahun yang lalu ini sememangnya menjadi salah satu agenda penting di SBPI Gombak kerana melalui program inilah murid-murid dapat membina tabiat membaca dan menanamkan rasa cinta terhadap ilmu pengetahuan.         En Sakri Abdullah dari Institut Terjemahan & Buku Malaysia telah dijemput merasmikan pelancaran dan seterusnya menyampaikan sijil-sijil anugerah pencapaian kepada murid-murid yang aktif menjayakan program ini.  En Sakri Abdullah juga menyampaikan sumbangan peribadinya yang berbentuk buku-buku sebagai bahan bacaan yang akan diletakkan di pusat sumber sekolah.

En Sakri Abdullah menyumbangkan bahan bacaan kepada pusat sumber.

Murid-murid yang mendapat anugerah NILAM bersama En Sakri dan guru-guru.

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Pengumuman Keputusan SPM 2012

KHAMIS, 21 MAC 2013 – Keputusan SPM yang diumumkan pada hari ini masih mengekalkan SBPI Gombak sebagai 10 yang terbaik dalam kalangan sekolah-sekolah berasrama penuh.  Dengan kedudukan yang ke-7 dalam senarai 10 terbaik SBP, seramai 68 orang daripada batch JUMPERS 0812 ini telah berjaya mendapat semua A bagi kesemua mata pelajaran yang diambil dan 5 orang daripadanya mendapat semua A tambah.  Murid-murid cemerlang yang mendapat semua A tambah adalah Muhammad Ilman Ismail, Adam Anuar Ahmad Suhaimi, Muhammad Firdaus Aziz, Muhammad Arif Hussaini Azeman, dan Nadhirah Tajudin. Tahniah kepada semua murid, semoga kejayaan mereka menjadi pendorong kepada murid-murid tingkatan 5 pada tahun ini untuk mencatat kejayaan yang lebih cemerlang.

Murid-murid cemerlang SPM 2013 – Dari kiri Ilman, Adam, Arif, Firdaus dan Nadhirah.

 

Murid-murid yang mendapat semua A dalam SPM 2012.

 

 

 

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Kejohanan Hoki HKSBP Zon Tengah

AHAD, 17 MAC 2013 – SBPI Gombak buat pertama kali menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (HKSBP) ke-8 peringkat zon tengah yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 Mac 2013 dan berakhir pada hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.  Pasukan hoki SBPI Gombak, lelaki dan perempuan pada kali ini hanya mampu layak sehingga ke peringkat suku akhir sahaja. Pertandingan akhir pada tahun ini menyaksikan pertemuan SM Sains Selangor bertemu SBP Integrasi Sabak Bernam (INTESABER)  bagi kategori lelaki, dengan kemenangan berpihak kepada SM Sains Selangor.  Kategori perempuan juga mempertemukan pasukan daripada sekolah yang sama, tetapi kemenangan berpihak kepada INTESABER.  Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK) Encik Mazlan Samsudin.

 

Salah satu aksi pasukan SBPI Gombak.

En Mazlan Samsudin menyampaikan medal kepada pasukan pemenang.

 

 

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Pertandingan Bola Keranjang HKSBP Zon Tengah

AHAD, 10 MAC 2013 – Pertandingan Bola Keranjang Hari Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh (HKSBP) peringkat zon tengah yang telah berlangsung selama 4 hari bermula 7 Mac 2013 hari ini melabuhkan tirainya dengan menyaksikan perlawanan akhir antara pasukan SBPI Gombak dan SMS Hulu Selangor (SEMASHUR) bagi kedua-dua pasukan lelaki dan perempuan. SBPI Gombak terpaksa akur dengan keunggulan pasukan SEMASHUR apabila hanya mampu menjadi naib juara bagi pasukan lelaki dengan mata 20-39 dan perempuan 9-27.  Setelah menjadi naib juara, secara automatik pasukan lelaki dan perempuan SBPI Gombak telah berjaya melayakkan diri bertanding di peringkat kebangsaan yang akan diadakan di SM Sains Selangor pada 24 hingga 28 Mei 2013.

Pasukan lelaki menerima medal daripada Tn Timbalan Pengarah BPSBPSK

Pasukan Bola Keranjang SBPI Gombak bersama jurulatih dan guru.

 

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Mesyuarat PIBG Kali Ke-11

SABTU, 09 MAC 2013 – Mesyuarat PIBG kali ke-11 telah diadakan di Dewan Seri Gemilang pada hari ini. Mesyuarat kali ini telah dirasmikan oleh Tuan Haji Rosland Bin Hussein, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh Dan Sekolah Kecemerlangan (BPSBPSK). Mesyuarat yang bermula 9.00 pagi hingga 1.40 tengah hari itu telah mengekalkan AJK penggal lalu dalam kalangan ibu bapa, manakala beberapa AJK baharu telah dilantik dalam kalangan guru-guru. Senator Datuk Haji Rizuan Bin Abd Hamid, yang telah dilantik sebagai YDP PIBG sekolah ini untuk penggal ke tiga secara berturut-turut telah mengumumkan sumbangan dana daripada KAF Fund Management Sdn Bhd sebanyak RM 20 000, Yayasan Kepong (RM20 000) dan Bank Rakyat (RM20 000).  Datuk Haji Rizuan juga telah melancarkan kutipan sumbangan daipada ibu bapa untuk membeli dome hidangan bagi kegunaan di dewan makan yang memerlukan sebanyak 100 unit. Datuk Haji Rizuan sendiri secara peribadi telah menyumbangkan sebanyak 10 unit dome hidangan.

Penyerahan mok cek sumbangan dana kepada sekolah.

Barisan AJK PIBG yang dilantik.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Ragbi MSSS Bawah 18 Tahun

SELASA, 08 MAC 2013 – Perlawanan akhir Ragbi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS) bagi kategori bawah 18 tahun sekali lagi menyaksikan pertemuan SBPI Gombak bertemu musuh tradisinya iaitu Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR). Pada perlawanan kali ini pasukan SBPI Gombak sepanjang perlawanan telah menunjukkan satu persembahan yang amat baik, namun telah tewas 5-10 dengan ketangkasan pemain-pemain SEMASHUR.

Pn Wan Saberina (Pengetua SBPI Gombak) yang juga turut hadir menyaksikan perlawanan melahirkan rasa bangganya terhadap kesungguhan para pemain sekolah dan mengharapkan keunggulan itu dapat ditingkatkan pada masa akan datang.

Salah satu aksi perlawanan.

 

Pn Wan Saberina dan guru-guru bersama pasukan ragbi SBPI Gombak

 

 

Posted in Uncategorized | Leave a comment